Welcome to ariffantasi blog, enjoy reading.

[Tutorial] Ms Excel 2007: Membina Carta Dengan Dua Y-Axis

Mungkin rakan-rakan anda pernah bertanya, bagaimana hendak membina carta atau graf yang menggunakan kedua-dua Y-Axis iaitu sebelah kiri dan kanan. Sebagai orang yang suka membantu, anda pastinya cuba menyelesaikan masalah ini tetapi bagaimana caranya? Kali ini kita akan cuba membina sebuah carta yang memaparkan dua graf serentak iaitu Bar dan Line. Untuk tujuan ini, mari kita saksikan hasil yang akan kita perolehi nanti seperti dalam ilustrasi berikut.

Dalam carta di atas, pada paksi-Y sebelah kiri menunjukkan peratusan yang ditunjukkan oleh graf garisan manakala pada sebelah kanan menunjukkan jumlah yang diwakili oleh car bar yang bewarna biru. Paksi X pula menunjukkan hari-hari dalam seminggu.

1. Menyediakan Data dan Carta Asas

Seperti biasa sebelum membina carta, data adalah amat diperlukan. Oleh itu, dalam tutorial ini kita cuba gunakan data-data seperti berikut. Anda boleh hasilkan sendiri data anda bergantung kepada keperluan carta berkenaan.

Tandakan kesemua data-data berkenaan dan pergi ke ribbon menu Insert dan pilihlah carta Column 2-D seperti ilustrasi berikut.

Hasilnya adalah sebuah carta bar yang membosankan serta tidak menarik seperti berikut. Untuk memudahkan kerja kita, abaikan Legend pada sebelah tepi kanan (Series1 dan Series2) dengan memadamnya. Tandakan kedua-duanya dan tekan kekunci delete.

Anda akan dapati cuma bar pada Series2 sahaja yang nampak manakala bar Series1 hampir-hampir tidak kelihatan. Jangan bimbang kerana ini hanya sementara dan kita akan menukar salah satu Series berkenaan kepada garisan.

2. Menukar Carta Bar kepada Carta Garisan

Daripada langkah sebelumnya, klik right-mouse pada bar yang hampir tidak kelihatan berkenaan. Satu menu akan keluar dan anda pilihlah Change Series Chart Type seperti berikut.

Selanjutnya satu tetingkap akan dipaparkan dan anda bebas untuk memilih jenis carta yang hendak digunakan. Dalam tutorial ini, kita akan pilih Line Chart seperti ilustrasi berikut.

Selesai sahaja, anda bolehlah klik pada butang Ok. Kemudian anda perlu ulang semula proses tadi iaitu klik right-mouse pada bar yang masih tidak kelihatan berkenaan dan menu akan dipaparkan.

Daripada menu berkenaan, anda pilih pula Format Data Series. Selanjutnya tetingkap berikut akan dipaparkan.

Langkah ini adalah paling penting iaitu, daripada tetingkap Format Data Series berkenaan, anda perlu klik pada Secondary Axis dalam ruangan Plot Series On. Selesai sahaja berbuat demikian, klik butang Ok dan hasil akhirnya adalah seperti berikut.

Nampaknya anda telah berjaya menghasilkan sebuah carta yang memiliki dua Axis-Y yang menggabungkan carta bar dan carta garisan. Anda seterusnya boleh mengemaskinikan carta berkenaan dengan menambah elemen-elemen grafik lain dan sebagainya. Carta sebegini amat penting kerana kadang-kala banyak maklumat atau perkara perlu digabungkan untuk agar analisis yang berkesan dapat dilakukan. Selamat berjaya!