Welcome to ariffantasi blog, enjoy reading.

[Tutorial] Game Editor: Asas Game Editor

Pengenalan

Game Editor merupakan sebuah perisian unik yang digunakan oleh pembangun permainan profesional dan pembina permainan amatur sebagai alatan pembinaan permainan yang baik, pantas dan mudah dipelajari. Ianya membolehkan kandungan multimedia dan permainan dibangunkan sekali dalam satu persekitaran dan berupaya di eksport ke pelbagai platform sistem operasi. Game Editor boleh menghasilkan permainan untuk digunakan dalam sistem operasi Windows 95/98/Me/2000/2003/XP, Pocket PC, Handheld PC, GP2X, Windows Mobile-based Smartphones dan Linux.

Mengapa memilih Game Editor sebagai alatan pembangunan permainan?
  1. Ianya membolehkan permainan ringkas dibina secara pantas dengan hanya mengguna point-and-click iaitu tanpa melibatkan sebarang pengaturcaraan. Ini amat sesuai bagi pengguna amatur dan pengguna baru yang baru melibatkan diri dalam bidang pembangunan permainan.
  2. Bagi pengguna yang sudah mahir, penggunaan fungsi skrip adalah mudah dan berintegrasi dengan baik dengan hanya satu click. Sebarang fungsi unik boleh digunakan melalui penyunting kod yang disediakan.
  3. Pembangun permainan yang berpengalaman akan mendapat manfaat hasil daripada kewujudan skrip yang menyamai bahasa pengaturcaraan C yang boleh digunakan dalam penyunting skrip. Dengan ini, mereka tidak perlu belajar bahasa baru untuk membuat sebarang fungsi tambahan.

Konsep Asas

Sekarang, jika anda benar-benar telah sedia untuk mendalami alat pembangunan yang menarik ini, kita akan bermula dengan konsep asasnya. Asas pembangunan Game Editor ialah event (peristiwa) dan action (tindakan). Kedua-dua konsep ini menjadi nadi utama yang menggerakkan permainan yang dibina menggunakan Game Editor. Cuba anda bayangkan bahawa terdapat sebuah meja besar dimana anda boleh meletakkan objek-objek yang digunakan dalam permainan. Anda boleh mengalih, menyusun dan memadam objek-objek berkenaan mengikut kemahuan anda secara visual. Beginilah konsep bagaimana kita membina permainan dalam Game Editor ini iaitu dalam persekitaran kerja visual secara 2-dimensi. Terdapat 3 konsep utama yang perlu difahami iaitu:
  • Actors
Actor seumpama pelakon atau sebarang objek yang digunakan dalam permainan. Ianya boleh terdiri daripada karektor-karektor utama dalam permainan dan juga watak tambahan lain yang boleh memiliki sifat-sifat sendiri. Secara umum, ianya adalah apa sahaja yang berfungsi sebagai objek dalam persekitaran ruangan suntingan Game Editor. Setiap actor memiliki satu atau sekumpulan animasi yang dipautkan padanya.
  • Animations
Animation atau animasi ialah imej statik atau sekumpulan imej dalam turutan yang mewakili actor pada skrin. Tidak semua animasi adalah imej bergerak. Animasi boleh terdiri daripada sebarang imej yang menggambarkan sesuatu karektor atau objek dalam sesebuah permainan.
  • Events & Actions
Events adalah sesuatu peristiwa yang berlaku semasa permainan berlangsung. Antara contoh event misalnya, apabila pemain menekan kekunci arrow, dan apabila dua actor bertembung sesama sendiri. Actions pula adalah tindakan susulan yang bakal terjadi apabila berlakunya event berkenaan. Sebagai contoh, action letupan akan terjadi apabila event actor berlanggar berlaku. Dalam Game Editor, terdapat senarai pelbagai jenis actions dan events sedia ada yang boleh digunakan terus.